Bateri adalah umpama nyawa bagi menghidupkan sesebuah kereta. Ia berfungsi sebagai komponen utama untuk permulaan sistem kereta. Adalah penting untuk menjaga bateri kereta yang berperanan ibarat jantung kenderaan tersebut. Berdasarkan statistik SPANCO, kegagalan bateri kereta adalah merupakan punca utama kerosakan kenderaan. Oleh itu, berikut disenaraikan beberapa kecuaian yang sering dilakukan oleh pemandu sehingga menjadi punca kegagalan bateri kereta:
1) Lupa mematikan suis lampu kereta
Lampu kereta yang dibiarkan menyala semalaman boleh menyebabkan bateri ternyahcas dengan pantas serta mengurangkan keupayaan fungsinya. Adalah penting bagi anda untuk memastikan lampu kenderaan dimatikan setiap kali keluar dari kereta bagi mengelakkan berlakunya kerosakan bateri pada keesokan hari.
2) Tidak menutup pintu kereta dengan rapat
Pintu kereta yang tidak ditutup dengan rapat boleh menyebabkan sensor kenderaan menjadi aktif sepanjang malam sehingga menyebabkan bateri kehabisan kuasa. Ia turut menyumbang kepada punca bateri kereta rosak.
3) Tidak menghidupkan enjin kereta untuk tempoh yang lama
Kenderaan yang tidak digunakan dalam tempoh yang lama boleh mengurangkan jangka hayat bateri dan menyebabkan caj bateri susut. Oleh itu, hidupkan kenderaan setiap 5-7 hari bagi memastikan bateri sentiasa mempunyai caj.
Baca juga: 6 Tips Pemeriksaan Kereta Sendiri
4) Pengabaian penyenggaraan kenderaan
Penyenggaraan kenderaan adalah penting bagi memastikan kenderaan berfungsi dengan baik. Sekiranya kenderaan tidak disenggara bagi tempoh masa yang lama, ia boleh mendatangkan masalah kepada bateri.
5) Pengabaian tanda amaran
Sesebuah kenderaan biasanya akan mengeluarkan tanda amaran sekiranya terdapat sesuatu masalah pada kereta. Adalah penting untuk mengenali tanda amaran tersebut bagi mengenal pasti masalah atau kerosakan yang terjadi. Bunyi bising ketika menghidupkan enjin, lampu hadapan dan maklumat pada kluster meter yang semakin malap dan enjin berputar perlahan adalah antara tanda amaran yang tidak boleh diabaikan kerana ia mungkin menandakan bateri semakin lemah.