Kotak gear atau ‘gearbox’ adalah komponen penting dalam kenderaan yang memastikan kereta dipandu dengan lancar pada sebarang kelajuan. Ia berfungsi mengawal tork dan kelajuan kereta termasuk sistem klac kereta, sekali gus menjamin keselamatan sepanjang pemanduan. Disenaraikan antara tanda kotak gear mengalami masalah seperti berikut:
1. Sukar untuk Menukar Gear
Tanda awal kotak gear mengalami masalah adalah sukar untuk menukar gear atau gear susah masuk. Hal ini berlaku kerana penapis tersumbat, sambungan klac yang rosak atau penapis kotor. Sekiranya anda berdepan masalah pertukaran gear yang tidak lancar, lakukan pemeriksaan segera di pusat servis terdekat supaya dapat mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
2. Bunyi Bergeser
Bunyi bergeser atau bunyi hentakan semasa anda menukar gear adalah salah satu tanda kotak gear mengalami kerosakan. Bunyi bising ini mungkin berpunca daripada paras minyak gear yang rendah atau jenis minyak gear yang tidak sesuai digunakan dalam kereta anda. Pastikan anda melakukan penyenggaraan untuk mengenal pasti kerosakan kotak gear dengan cepat.
3. Kebocoran Minyak Gear
Minyak gear berfungsi untuk memastikan kelinciran pergerakan gear ketika kenderaan bergerak. Minyak gear yang bocor akan mengganggu kelancaran pertukaran gear semasa memandu di jalan raya. Hal ini kerana kotak gear tidak dapat menghasilkan tekanan hidraulik yang mencukupi untuk menggerakan komponen dalaman semasa berlakunya pertukaran gear. Lakukan pemeriksaan segera jika mendapati kebocoran minyak gear.
4. Kereta Tidak Bergerak
Kereta tidak bergerak walaupun tombol gear dimasukkan ke ‘D’ adalah tanda kotak gear anda memerlukan pemeriksaan segera. Hal ini kerana kereta tidak bergerak selepas menukar gear mungkin mengalami masalah kerosakan seperti ‘valve body’ tersumbat atau sensor dan ‘valve body’ rosak.
5. Lampu Amaran Enjin Menyala
Lampu amaran enjin menyala adalah satu petanda jelas yang menunjukkan kerosakan kotak gear. Sistem sensor akan menyalakan lampu amaran enjin sekiranya didapati berlaku kelewatan sentakan atau gegaran yang mungkin tidak disedari. Pastikan anda melakukan pemeriksaan segera di pusat servis terdekat untuk mengenal pasti kerosakan kotak gear.