Sikap cuai pengguna kenderaan adalah faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara kita berada pada tahap yang membimbangkan. Pelbagai kempen kesedaran keselamatan jalan raya dilakukan oleh pihak berkuasa namun statistik kemalangan tetap bertambah dari hari ke hari. Disenaraikan beberapa kesalahan pemanduan yang biasa dilakukan sehingga menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya seperti berikut:
1. Memotong Kenderaan Secara Berbahaya
Pemandu yang tidak mempunyai kesabaran semasa memandu kereta biasanya akan cuba memotong kenderaan hadapan yang memandu perlahan. Tindakan memotong secara melulu adalah sangat bahaya.
Hal ini kerana, pemandu yang memandu di laluan bertentangan mungkin tidak dapat mengawal kelajuan kenderaan semasa anda memotong di barisan mereka hingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
2. Mengekori Kereta Hadapan Terlalu Rapat
Sesetengah pemandu gemar mengekori kenderaan hadapan terlalu rapat dengan niat mereka boleh menekan brek pada situasi kecemasan. Tindakan ini sangat bahaya apabila anda tidak dapat mengawal kenderaan semasa kereta di hadapan membrek secara tiba-tiba.
Oleh itu, pastikan anda mematuhi peraturan jarak 2 saat antara kenderaan anda dan kenderaan di hadapan supaya dapat mengawal kereta di situasi tidak diingini.
3. Membuat Pusingan U Secara Melulu
Pusingan U hanya dibenarkan dibuat ditempat yang mempamerkan papan tanda pusingan U. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pemandu yang tidak bertanggungjawab menggunakan jalan singkat untuk menuju ke destinasi dengan membuat pusingan U di tempat yang tiada papan tanda tersebut.
Ia merupakan kesalahan yang boleh dikenakan denda serta mengundang bahaya kepada pengguna lain apabila berlaku kemalangan termasuk menyebabkan kesesakan jalan yang lebih teruk.
4. Melanggar Lampu Isyarat
Kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh pemandu adalah melanggar lampu isyarat merah. Pengguna selalu mengabaikan lampu isyarat di jalan raya terutamanya apabila ia bertukar merah dengan memecut tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Anda perlu bersiap-sedia semasa lampu isyarat berwarna kuning untuk berhenti daripada memecut untuk melepasi lampu isyarat. Perbuatan ini amat bahaya bukan sahaja untuk pemandu malah bagi pengguna jalan raya lain.
5. Bersikap Cuai Di Simpang Jalan
Kecuaian tidak berhenti terlebih dahulu di simpang jalan boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan. Pemandu perlu mengetahui anda perlu berhenti terlebih dahulu di simpang jalan sebelum membelok ke kiri atau kanan. Hal ini kerana terdapat kenderaan lain di jalan raya utama yang mungkin memandu laju dan tidak melihat kelibat kenderaan anda.
Sekiranya anda tidak berhenti dan bertindak untuk melepasi simpang, anda berkemungkinan terlibat dalam kemalangan.
6. Memotong Di Garisan Kembar
Memotong di garisan kembar juga adalah kesalahan paling banyak dilakukan oleh pengguna jalan raya. Garisan kembar di jalan raya merupakan tanda amaran bagi pemandu bahawa mereka tidak boleh memotong kenderaan kerana struktur jalan raya yang sempit atau selekoh-selekoh berbahaya. Perbuatan ini sangat berisiko kerana boleh menyebabkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa.