Cermin hadapan kereta merupakan komponen yang perlu dijaga dengan baik demi menjamin penglihatan dan memastikan keselamatan pemanduan. Penglihatan pemandu boleh terjejas jika permukaan cermin kereta tidak dibersihkan atau dijaga dengan betul. Oleh itu, ketahui kepentingan menjaga komponen ini seperti berikut:
1. Tahap Penglihatan Baik
Menjaga cermin hadapan kenderaan dengan bersih di bahagian dalam dan luar akan mengurangkan tahap kesilauan dan memastikan anda dapat melihat jalan raya dengan jelas ketika memandu.
2. Melindungi Cermin
Kotoran daripada persekitaran luar seperti pasir halus dan debu boleh menjejaskan permukaan cermin hadapan. Selain itu, batu-batuan kecil yang terkena semasa memandu di jalan raya juga boleh meninggalkan kesan retak pada permukaan cermin serta membawa kesan yang lebih bahaya jika dibiarkan begitu sahaja.
Oleh itu, lakukan pembersihan berkala terhadap cermin hadapan untuk melindunginya dan pastikan ia sentiasa bersih bagi memberi penglihatan yang jelas.
3. Menjaga Pengelap Cermin
Ramai lupa untuk membersihkan pengelap cermin kerana menganggap ia sebagai tidak penting. Anda perlu sentiasa membersihkan bilah pengelap bagi mengelakkan pengumpulan kotoran seperti pasir dan debu di bawah bilah pengelap. Hal ini kerana kotoran tersebut mampu merosakkan cermin hadapan dan menjejaskan penglihatan anda.
Oleh itu, pastikan anda membersihkan bilah pengelap dengan kain lembap sekurang-kurangnya seminggu sekali agar ia berada dalam keadaan baik.
4. Meningkatkan Jangka Hayat Cermin
Membersihkan permukaan cermin hadapan secara berkala sangat penting bagi menjamin keselamatan pemanduan dan memberi penglihatan jelas. Penggunaan kain mikro fiber yang berkualiti dan bahan pencuci yang bersesuaian akan meningkatkan jangka hayat cermin.
Selain itu, anda juga disarankan untuk menghantar kenderaan ke pusat perapian setiap sebulan atau dua bulan sekali bagi mengembalikan atau memulihkan kebersihan ke tahap terbaik.