Bagi membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelanggan dan kakitangan, SPANCO kini beroperasi berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, Pusat Servis SPANCO telah mengubahsuai beberapa prosedur pengurusan fleet kenderaan berdasarkan SOP seperti berikut:
1) Lakukan Temujanji
Semua pelanggan SPANCO diminta membuat temujanji di Pusat Servis Wilayah (PSW) Batu Caves dan Bangi serta di Pusat Servis Diiktiraf (PSD) melalui Aplikasi Mobil SPANCO atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-6999 terlebih dahulu bagi sebarang urusan penyenggaraan dan pembaikan kenderaan.
Pelanggan boleh memuat turun aplikasi ini dari Google Playstore bagi peranti Android dan App Store untuk iOS supaya ia memudahkan segala urusan anda bersama SPANCO dengan cepat.
Pastikan anda membuat temujanji dua hari sebelum tarikh penghantaran kenderaan ke pusat servis bagi memudahkan proses penyenggaraan dan pembaikan kenderaan serta dapat mengurangkan masa menunggu di pusat servis.
2) Hubungi Talian Bebas Tol SPANCO
Bagi pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai urusan penyenggaraan, pembaikan, aduan kerosakan atau kemalangan, anda boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6999 selain melalui Aplikasi Mobil SPANCO. Pihak SPANCO sentiasa sedia memberikan respon dan perkhidmatan bagi menyelesaikan masalah anda.
3) Pengambilan dan Pemulangan Kenderaan
Segala urusan berkenaan pengambilan atau pemulangan kenderaan hanya boleh dilakukan melalui proses temujanji di PSW SPANCO Batu Caves. Para pelanggan juga boleh menghubungi Eksekutif Akaun SPANCO yang bertanggungjawab ke atas Kementerian, jabatan atau agensi berkaitan untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Selepas berurusan dengan penasihat servis SPANCO, pelanggan tidak dibenarkan menunggu di pusat servis untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19 dalam kalangan pelanggan dan pekerja SPANCO. Segala urusan pengambilan semula kenderaan yang telah siap akan dimaklumkan kepada pelanggan oleh penasihat servis.
Bagi sebarang maklumat lanjut berkenaan perkembangan terkini dan prosedur pengurusan anda boleh melayari laman web rasmi SPANCO di www.spanco.com.my.