Berapa ramai dalam kalangan kita mempunyai kesedaran bahawa penggunaan semula minyak masak boleh membahayakan kesihatan? Perbuatan ini kerap dilakukan dengan alasan ‘menjimatkan’ penggunaan minyak masak di rumah atau untuk kegunaan perniagaan tanpa memikirkan risiko disebaliknya.
Minyak masak yang digunakan berulang kali untuk menggoreng atau menumis makanan sebenarnya mempunyai kandungan toksik yang tinggi. Sebagai pengguna yang bertanggungjawab adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan kebersihan dan keselamatan minyak masak terjamin semasa menggunakannya untuk masakan harian.
Kesan Penggunaan Semula Minyak Masak
Kesedaran mengenai keselamatan penggunaan minyak masak sangat penting dalam masakan harian demi menjaga kesihatan diri dan keluarga. Namun, tanpa disedari penggunaan semula minyak masak boleh menyebabkan anda mendapat beberapa kesan sampingan seperti berikut:
Penyakit Kronik
Minyak masak yang telah digunapakai untuk beberapa kali akan menghasilkan kandungan toksik tinggi yang boleh menyebabkan anda mendapat penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, alzheimer, artherosclerosis, keradangan hati dan sebagainya.
Hal ini berlaku akibat kandungan toksik tersebut menyebabkan saluran darah tersumbat dan meningkatkan tekanan darah di mana ia menjadi punca utama anda terdedah pada penyakit serius.
Peningkatan Kandungan Kolesterol LDL
Makanan yang dimasak dengan penggunaan minyak masak semula khususnya minyak yang telah bertukar warna ke hitam boleh meningkatkan kadar LDL atau kolesterol jahat dalam badan. Tahap kolesterol LDL yang tinggi akan meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan sakit dada.
Oleh itu, elakkan penggunaan semula minyak masak untuk melindungi kesihatan diri dan keluarga terutamanya daripada penyakit kolesterol.
Obesiti
Obesiti adalah satu masalah kesihatan yang berlaku atas beberapa punca seperti diet tidak seimbang, gaya hidup yang tidak aktif, faktor genetik dan sebagainya. Makanan yang dimasak menggunakan minyak terpakai juga menyumbang kepada peningkatan obesiti kerana ia mempunyai kandungan lemak trans yang tinggi.
Kandungan lemak tersebut akan meningkatkan berat badan individu kerana badan anda tidak dapat membakar lemak tersebut dengan mudah. Ia secara tidak langsung mendedahkan anda terhadap penyakit kronik lain seperti kencing manis, kanser, sakit jantung dan lain-lain.