Sistem transmisi automatik perlu dijaga dengan baik agar ia tidak mudah rosak akibat kecuaian dan kelalaian semasa memandu kenderaan. Disenaraikan beberapa tips penjagaan sistem ini untuk anda lebih berwaspada pada masa akan datang:
1. Lakukan Servis Bendalir Transmisi Automatik (ATF)
Bendalir Transmisi Automatik atau lebih dikenali sebagai ‘Automatic Transmission Fluid – ATF’ adalah pelincir transmisi yang digunakan untuk melicinkan pelbagai bahagian dalam sistem transmisi kenderaan.
Bagi meningkatkan jangka hayat sistem transmisi, penukaran ATF dan penapis perlu dilakukan mengikut masa dan perbatuan seperti yang disyorkan oleh pengeluar kenderaan.
2. Elakkan Meredah Banjir
Meredah banjir adalah satu tindakan yang tidak digalakkan kerana ia sangat berisiko dan boleh merosakkan komponen kereta. Pengguna kenderaan transmisi automatik perlu lebih berhati-hati semasa meredah banjir kerana ia boleh menyebabkan air memasuki dalam sistem bendalir transmisi.
Kemasukan air tersebut boleh merosakkan sistem transmisi automatik dan mengurangkan jangka hayatnya.
3. Elakkan Memandu Secara Agresif
Memandu secara agresif boleh menyebabkan kotak gear dan ‘timing belt’ mudah rosak. Menekan pedal minyak dengan kuat sehingga meter RPM naik mendadak sebelum memasukkan gear ‘D’ akan meningkatkan tekanan pada gelung transmisi. Oleh itu, elakkan memandu laju jika anda ingin mengurangkan perbelanjaan untuk membaiki kenderaan anda.
4. Jangan Tukar Gear Ketika Kereta Bergerak
Elakkan menukar gear apabila kereta tidak berhenti sepenuhnya. Hal ini kerana menukar gear dengan cepat boleh meletakkan bebanan pada transmisi dan menyebabkan berlakunya masalah yang lebih serius terhadap kotak gear.
Anda digalakkan untuk menunggu kereta berhenti sebelum menukar gear dari ‘D’ ke ‘R’ atau ‘P’ bagi meningkatkan jangka hayat sistem transmisi automatik anda.
5. Gunakan Gear Rendah Semasa Mendaki Bukit
Gunakan gear rendah pada mod 1 atau 2 ketika anda memandu di kawasan bukit yang curam supaya menambahkan kuasa kereta ketika mendaki bukit. Ia juga secara tidak langsung dapat memanjangkan jangka hayat transmisi kereta anda.