Panduan Penting Bagi Menjaga Tayar Kereta

Tayar adalah salah satu komponen penting pada kenderaan yang memerlukan penjagaan yang betul supaya ia dapat berfungsi dengan optimum. Kelalaian menjaga tayar kenderaan boleh membahayakan diri anda dan ramai pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, ketahui penjagaan tayar yang betul supaya keselamatan anda di jalan raya terjamin.

Tekanan Angin

Bagi mencegah kerosakan atau tompokan rata pada tayar, pemeriksaan tekanan angin perlu dilakukan secara kerap atau seminggu sekali. Tahap tekanan angin yang optimum bagi sesuatu tayar sudah ditetapkan pengeluar untuk mendapatkan prestasi yang terbaik.

Bergantung pada model kereta, maklumat tekanan angin itu terdapat pada manual, penutup tangki minyak atau di tepi pintu pemandu. Tekanan angin yang salah boleh merosakkan tayar sehingga kadangkala tidak boleh dibaiki lagi. Tekanan angin yang sempurna pula mampu memanjangkan hayat tayar seterusnya menjimatkan perbelanjaan.

Kedalaman Bunga Tayar

Fungsi bunga tayar adalah untuk mencengkam permukaan jalan. Alur tayar pula akan membantu menyingkirkan air daripada jalan basah dan permukaan tayar semasa memandu. Oleh itu, bunga tayar yang telah haus sangat bahaya untuk digunakan terutamanya apabila melalui jalan raya banjir atau basah. Hal ini kerana ia akan kehilangan keupayaan menyingkirkan air serta menjadi punca utama berlakunya akusatah.

Pastikan anda sentiasa memeriksa tayar agar ia mempunyai kedalaman bunga sekitar 1.6 milimeter dan menukarnya apabila ia melebihi ukuran tersebut.

Corak Haus

Keadaan dan corak haus tayar boleh menunjukkan penjagaan yang tidak sempurna selain memberi isyarat mengenai kerosakan pada sistem stereng, gantungan atau brek kenderaan itu.

Periksa tayar sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk mengesan corak haus yang luar biasa.

Penjajaran Tayar

Penjajaran roda sangat penting bagi memastikan pergerakan tayar kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan selamat. Penjajaran dilakukan dengan menyesuaikan sudut tayar kenderaan anda supaya ia dihalakan pada arah yang betul mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh pengeluar kenderaan.

Anda perlu melakukan penjajaran roda apabila kereta anda menghala ke satu sisi dan roda stereng tidak kekal berpusat. Selain itu, kenderaan yang telah diselaraskan dengan betul akan berfungsi dengan optimum sekaligus meningkatkan keselamatan dan menjimatkan penggunaan bahan api.

  • Tidak Seimbang

Tayar yang tidak seimbang mengakibatkan bunga cepat haus secara tidak sekata selain boleh merosakkan sistem gantungan. Ketidakseimbangan menyebabkan pemanduan yang bergegar dan tidak selesa seterusnya meletihkan pemandu. Pengimbangan mesti dilakukan setiap kali tayar dipasang semula setelah diperbaiki dan untuk semua tayar baru.

  • Tidak Sejajar

Bonggol dan lubang di permukaan jalan boleh menyebabkan geometri tayar berganjak dan tidak selari. Bagaimanapun penjajaran tayar juga boleh berubah secara perlahan-lahan di bawah pemanduan biasa. Elakkan atau pandu dengan perlahan ketika melalui permukaan jalan yang berlubang.

Technician with a blue workwear, holding a wrench and a tire while showing thumb up
Sumber: Freepik Standret

Tips Menjaga Tayar

• Pemeriksaan dan penambahan angin dilakukan ketika tayar sejuk bagi mendapatkan bacaan yang tepat.
• Periksa tekanan angin dengan kerap kerana tayar sentiasa terdedah kepada kebocoran akibat benda tajam seperti paku atau skru.
• Pemeriksaan seminggu sekali adalah paling baik.
• Tangani masalah corak haus yang tidak normal dengan segera.
• Tabiat memecut dan membrek secara tiba-tiba akan membotakkan tayar dengan cepat selain meningkatkan penggunaan bahan api.
• Lakukan kitaran tayar setiap 10,000km.
• Lakukan pengimbangan tayar apabila membeli tayar baru.
• Apabila memasang tayar baru, gantikan injapnya sekali.
• Ganti tayar sebaik saja kedalaman bunga kurang daripada 1.6mm.
• Kurangkan kelajuan apabila melalui jalan berair.
• Periksa penjajaran tayar setiap 20,000km atau enam bulan, yang mana dahulu.

Gaya Memandu Jejaskan Tayar

Pemanduan yang lasak dan kasar seperti memecut atau membrek dengan tiba-tiba menyebabkan tayar cepat botak selain meningkatkan penggunaan petrol. Justeru:

•Pandu dengan cermat dan sentiasa berwaspada.
•Menjangka keadaan jalan di hadapan.
•Menggunakan brek dan meningkatkan kelajuan secara stabil.
•Elak menggeserkan tayar dengan bahu jalan.
•Mengambil selekoh dengan laju boleh menyebabkan tayar cepat haus.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

4 Tanda Kebocoran Hos Vakum Dalam Sistem Enjin

Kebocoran hos vakum akan mengurangkan prestasi dan keupayaan pemanduan kereta. Ia juga menjejaskan keselamatan pemanduan dan menjadi salah satu punca kerosakan enjin. Ketahui antara...

Kesalahan Memotong Garisan Berkembar

Peraturan jalan raya ditetapkan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Namun ramai yang melanggar peraturan hingga menyebabkan kemalangan. Antara peraturan jalan raya yang sentiasa...

Teknologi Hijau Mengurangkan Pencemaran Alam

Teknologi hijau adalah istilah umum yang menerangkan penggunaan teknologi dan sains untuk mengurangkan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Ia adalah teknologi rendah karbon...

Penjagaan Kesihatan Buah Pinggang

Buah pinggang adalah antara organ penting yang berperanan untuk menapis darah dari sisa buangan, mengawal keseimbangan cecair badan, dan mengekalkan tahap elektrolit yang betul....

4 Tempat Letak Kenderaan Yang Bahaya Semasa Musim Hujan

Musim hujan tidak menentu sejak kebelakangan ini boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan-kawasan tertentu. Pengguna kenderaan perlu lebih berhati-hati apabila meletakkan kereta kerana hujan...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!