Penyenggaraan Asas Kenderaan Yang Perlu Anda Ketahui

Sebagai pemandu kenderaan yang bertanggungjawab, ia adalah penting untuk anda melakukan penyenggaraan berkala kenderaan dari semasa ke semasa. Pemeriksaan asas terhadap komponen kereta boleh dilakukan sendiri bagi memastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik. Disenaraikan beberapa petua asas yang boleh diikuti bagi penjagaan kenderaan anda:

1) Tayar

Pastikan tekanan udara tayar kenderaan mencukupi sebelum melakukan perjalanan. Periksa tekanan udara supaya ia menepati spesifikasi yang ditetapkan. Hal ini kerana tekanan udara lebih atau kurang daripada spesifikasi boleh mengurangkan kuasa cengkaman, tayar mudah pecah dan retak. Sentiasa pastikan kedalaman bunga tayar tidak kurang dari 1.6 milimeter.

2) Bateri

Komponen utama yang membekalkan arus elektrik perlu disenggara dengan memastikan paras air bateri mencukupi untuk bateri jenis air. Manakala, bateri jenis kering pula perlu diselenggara apabila penunjuk caj bateri menunjukkan ia perlu diganti.

3) Brek

Brek amat penting bagi menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika memberhentikan kenderaan pada situasi kecemasan yang tidak diduga. Periksa paras minyak brek dan pastikan ia berada pada paras antara minimum dan maksimum. Selain itu, pastikan pelapik brek sentiasa dalam keadaan tebal supaya ia membrek dengan betul.

4) Minyak enjin

Minyak enjin yang juga dikenali sebagai minyak hitam perlu ditukar apabila warna minyak tersebut bertukar warna daripada perang ke hitam berkilat. Ia menjadi hitam akibat pengumpulan kotoran dan bendasing daripada enjin pembakaran dalaman. Lakukan pemeriksaan berkala dan pastikan paras minyak berada antara paras maksimum dan minimun pada dipstik.

5) Lampu hadapan dan belakang

Lampu hadapan dan belakang penting ketika memandu kenderaan pada waktu malam dan ketika musim hujan kerana ia membekalkan cahaya. Cahaya lampu yang terang akan memberi penglihatan yang lebih jelas kepada pemandu di atas jalan raya. Sentiasa periksa lampu tersebut sama ada ia berfungsi dengan baik atau tidak. Gantikan lampu baharu dengan segera sekiranya ia rosak.

6) Lampu isyarat

Lampu isyarat penting untuk pemandu lain melihat arah pergerakan kenderaan anda. Oleh itu, sentiasa pastikan ia berfungsi dan berada dalam keadaan baik. Gantikan segera sekiranya terdapat lampu isyarat rosak.

7) Pengelap cermin

Cuaca panas boleh menyebabkan pengelap cermin yang diperbuat daripada getah cepat keras hingga meninggalkan kesan pada cermin hadapan kenderaan. Sentiasa angkat pengelap cermin ketika meletakkan kenderaan di kawasan terbuka supaya dapat memastikan ia bertahan dan berfungsi bagi jangka masa yang lama.

8) Tali sawat

Tali sawat perlu diganti apabila longgar kerana ia boleh mengakibatkan bunyi nyaring. Periksa keadaan tali sawat sebelum melakukan perjalanan kerana tali yang longgar boleh menyebabkan enjin kereta tidak berfungsi dengan baik. Kegagalan penukaran boleh menyebabkan tali sawat putus kerana haus dan memudaratkan komponen kenderaan yang lain.

9) Cecair pembersih cermin hadapan

Penggunaan cecair pembersih lebih berkesan berbanding penggunaan air biasa untuk membersihkan cermin hadapan kenderaan. Hal ini kerana terdapat pelbagai jenis kotoran pada permukaannya yang sukar dibersihkan dengan air biasa. Dengan menggunakan cecair pembersih anda mampu melihat jalan dengan baik kerana ia membersihkan kotoran pada kaca cermin. Pastikan selalu isi cecair pembersih sebelum meneruskan perjalanan anda.

10) Radiator

Radiator adalah sistem penyejuk enjin kenderaan yang perlu disenggara bagi memastikan ia berfungsi secara optimum. Cuaca panas dan pengumpulan kotoran pada sistem penyejuk menyebabkan enjin cepat panas. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh menggunakan penyejuk iaitu ‘coolant’ dan air biasa supaya ia tidak cepat panas.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

4 Tanda Kebocoran Hos Vakum Dalam Sistem Enjin

Kebocoran hos vakum akan mengurangkan prestasi dan keupayaan pemanduan kereta. Ia juga menjejaskan keselamatan pemanduan dan menjadi salah satu punca kerosakan enjin. Ketahui antara...

Kesalahan Memotong Garisan Berkembar

Peraturan jalan raya ditetapkan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya. Namun ramai yang melanggar peraturan hingga menyebabkan kemalangan. Antara peraturan jalan raya yang sentiasa...

Teknologi Hijau Mengurangkan Pencemaran Alam

Teknologi hijau adalah istilah umum yang menerangkan penggunaan teknologi dan sains untuk mengurangkan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Ia adalah teknologi rendah karbon...

Penjagaan Kesihatan Buah Pinggang

Buah pinggang adalah antara organ penting yang berperanan untuk menapis darah dari sisa buangan, mengawal keseimbangan cecair badan, dan mengekalkan tahap elektrolit yang betul....

4 Tempat Letak Kenderaan Yang Bahaya Semasa Musim Hujan

Musim hujan tidak menentu sejak kebelakangan ini boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan-kawasan tertentu. Pengguna kenderaan perlu lebih berhati-hati apabila meletakkan kereta kerana hujan...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!