Lampu kereta adalah komponen penting yang memastikan pemanduan lebih efisien dan selamat pada waktu malam dan ketika hujan. Teknologi pencahayaan pada kenderaan saban hari semakin maju. Selain fungsinya sebagai mengoptimumkan keselamatan pemanduan, anda juga perlu mengetahui perbezaan dan kegunaan lampu kenderaan ini seperti berikut:
Lampu Halogen
Mentol halogen mempunyai filamen tungsten dalam satu lapisan kaca yang mengandungi gas halogen di dalamnya. Kombinasi kedua-dua komponen ini akan menghasilkan kitaran halogen di dalam mentol pada filamen tungsten dan menghalang proses oksidasi daripada terjadi pada filamen tungsten tersebut.
Kebiasannya pengeluar kereta memasangkan lampu jenis halogen yang dikenali sebagai lampu universal pada banyak kenderaan baharu. Ia adalah salah satu lampu yang murah, mudah ditukar dan mempunyai jangka hayat yang boleh bertahan sehingga 1,000 jam. Namun, lampu ini menghasilkan haba panas serta menyumbang kepada pembaziran tenaga.
Mentol halogen memiliki kelebihan lain seperti ia boleh dipakejkan dalam saiz yang lebih kecil berbanding dengan mentol bukan halogen. Kos penggantian mentol ini juga murah dan ia mudah diganti.
Lampu LED
Lampu ‘Light Emitting Diode’ (LED) hadir dalam bentuk lebih kecil daripada lampu-lampu yang lain. Lampu ini beroperasi dengan pengaliran arus elektrik menerusi semikonduktor untuk menghasilkan cahaya yang lebih jelas dan terang.
Kini, kebanyakan kereta keluaran baharu dipasangkan dengan lampu LED kerana ia sangat fleksibel untuk dipasang dan menggunakan tenaga jauh lebih rendah daripada lampu halogen. Antara kelebihan lampu ini adalah ia mempunyai jangka hayat sehingga 15,000 jam dan tidak membazirkan tenaga dalam bentuk haba.
Ia juga sesuai digunakan sebagai lampu nyalaan siang, lampu brek serta lampu penunjuk pada papan pemuka.
Perbezaan antara Lampu Halogen dan LED
Kedua-dua lampu ini mempunyai fungsi dan peranan tertentu dalam membantu sistem pencahayaan kenderaan. Berikut disenaraikan beberapa ciri perbezaan lampu kereta:
• Jangka Hayat
Jangka hayat bagi lampu LED lebih lama daripada lampu halogen. Ia boleh bertahan selama 15,000 jam berbanding lampu halogen yang hanya mampu bertahan sehingga 1,000 jam.
• Pencahayaan
Lampu LED memancarkan cahaya lebih tinggi daripada halogen iaitu menghasilkan cahaya seterang 3,000 Lumens untuk lampu bawah. Oleh itu, ia sesuai digunakan pada waktu malam bagi memberi penglihatan yang jelas dalam suasana gelap.
• Pancaran haba
Sebilangan besar tenaga dalam halogen hilang dalam bentuk haba dan ia kurang cekap daripada LED. Lampu LED turut menghasilkan haba tetapi lebih kurang daripada lampu halogen.
• Kos
Lampu halogen dikenali kerana harga yang murah daripada LED. Kebanyakkan pengeluar kenderaan menggunakan lampu halogen sebagai pilihan mereka. Walau bagaimanapun, lampu LED lebih baik untuk digunakan kerana ia mempunyai pencahayaan yang baik pada waktu malam walaupun harganya agak mahal.