Keselamatan ketika memandu kenderaan perlu diberi perhatian demi melindungi nyawa sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Penumpang kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan juga tidak terkecuali. Sebagai langkah keselamatan, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak adalah penting sebagai perlindungan jika berlakunya kemalangan. Berikut merupakan fungsi dan kepentingan penggunaan kerusi keselamatan tersebut:
1) Mengurangkan risiko kecederaan
Statistik kemalangan yang melibatkan kanak-kanak semakin meningkat di negara kita. Risiko kecederaan yang serius dalam kalangan mereka dapat dikurangkan dengan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang sesuai dan dipasang dengan betul. Sekiranya berlaku kemalangan, fungsi kerusi ini mampu mengelakkan mereka tercampak keluar dari kenderaan kerana tali pinggang pada kerusi dapat menahan serta melindungi mereka.
2) Mengelakkan gangguan semasa memandu
Kadangkala terdapat segelintir ibu bapa yang sanggup mendukung anak mereka di tempat duduk hadapan. Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mampu mengawal pergerakan mereka. Ibu bapa juga boleh fokus terhadap pemanduan dan tidak perlu risau menjaga anak di dalam kenderaan bergerak.
3) Keselesaan
Anak-anak boleh duduk dengan selesa kerana struktur badan mereka lebih sesuai dengan kerusi keselamatan. Tanpa kerusi ini mereka terpaksa duduk di ruang orang dewasa. Ia menyebabkan mereka berasa tidak selesa dan mula mengganggu ibu bapa yang sedang memandu kereta.
4) Kesedaran
Semakin ramai ibu bapa menggunakan kerusi ini, semakin ramai orang akan mengetahui kepentingan penggunaannya. Langkah sebegini penting untuk mendidik ibu bapa mengenai kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak yang mampu melindungi nyawa anak mereka.