Penyerahan kereta peronda atau Mobile Patrol Vehicle (MPV) baharu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 16 Jun 2020. Sejumlah 28 daripada 40 unit kenderaan MPV jenis Honda Civic 1.8S telah diagihkan untuk kegunaan Polis Kuala Lumpur. Baki 12 unit lagi akan diserahkan dalam masa terdekat.
Manakala, Polis Selangor pula telah menerima 74 unit MPV daripada model yang sama pada 18 dan 19 Jun 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Kenderaan MPV baharu ini yang dibekalkan oleh SPANCO ini adalah bagi menggantikan sebahagian kereta peronda sedia ada yang sudah usang dan tidak sesuai lagi digunakan.
Ia dilengkapi dengan peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNeT, kamera papan pemuka (dashcam), kamera perakam video digital mudah alih (DVR) dan kit MPV yang mampu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pasukan PDRM dalam mencegah jenayah.