Sebut sahaja penjagaan kenderaan, perhatian utama sentiasa diberi kepada bateri dan air radiator. Adalah sama penting untuk kita menjaga minyak enjin yang juga dikenali sebagai ‘minyak hitam’ atau ‘minyak pelincir’ supaya enjin kereta sentiasa berada dalam keadaan baik. Minyak enjin biasanya akan ditukar setiap kali kenderaan dihantar untuk servis berjadual. Berikut merupakan beberapa informasi yang perlu anda ketahui mengenai minyak enjin:
Fungsi
Minyak enjin berfungsi untuk membersihkan, melincirkan pergerakan dan menyejukkan komponen dalaman enjin sekaligus menghalang daripada berlakunya kerosakan. Kegagalan menukar minyak enjin pada waktu yang sepatutnya akan membebankan enjin dan boleh menyebabkan masalah dalam jangka masa panjang. Oleh itu, adalah penting untuk anda melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan enjin berfungsi dengan optimum dan kekal bersih.
Risiko Pengabaian
Sikap cuai dalam memeriksa dan menukar minyak hitam boleh mengundang beberapa risiko pada kenderaan anda. Antaranya ialah pengumpulan kekotoran akibat habuk dan bahan kotor tersumbat di dalam penapis minyak enjin. Lama kelamaan ia akan mengurangkan daya fungsinya. Malah anda juga boleh mula mendengar bunyi enjin yang kuat akibat pergeseran antara besi dengan besi jika takat minyak enjin berkurangan. Oleh itu, pastikan anda sentiasa menukar minyak enjin pada waktunya berdasarkan perbatuan atau tempoh yang disyorkan oleh pengeluar kenderaan.
Cara Memeriksa Takat Minyak Enjin
Pemeriksaan takat minyak enjin adalah sangat senang untuk dilakukan sendiri seperti berikut:
1) Sebagai langkah pertama anda perlu buka pengukur celup yang berada di sebelah enjin.
2) Tarik pengukur celup dan lihat takat minyak.
3) Lap penyukat minyak enjin dengan kain dan masukkan semula bagi mendapat bacaan dengan teliti.
4) Penyukat minyak enjin mempunyai dua sukatan yang menunjukkan aras maksimum dan aras minimum. Periksa dahulu takat minyak berada pada aras mana.
5) Sekiranya berada pada takat minimum, anda perlu mengisi minyak hitam. Jangan isi melebihi paras maksimum kerana ia boleh menyebabkan kerosakan lain.
6) Ulang langkah tiga dan empat beberapa kali untuk mendapatkan bacaan tepat bagi paras minyak tersebut.
7) Setelah selesai melakukan pemeriksaan, masukkan semula pengukur celup ke tempat asal dan menutupnya dengan rapat.
Anda juga disyorkan untuk menukar penapis minyak setiap kali anda menukar minyak enjin sebagai langkah pencegahan.