Seni kraf melambangkan budaya dan identiti sesebuah masyarakat dan tamadun. Ia perlu dipertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang supaya tidak luput ditelan zaman. SPANCO telah mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan pakar reka Alam Melayu, Prof. Dr. Che Husna Azhari dalam memartabatkan warisan seni loyang ke persada yang lebih tinggi.
Sepanjang tahun 2020, PRIHATIN akan mempersembahkan artifak-artifak loyang terpilih yang dibahagikan kepada 12 kategori aplikasi dan penggunaan. Kali ini, PRIHATIN mengetengahkan artifak loyang dalam bentuk bekas simpanan air iaitu kendi jantan dan kendi puan.
Kendi adalah bekas simpanan air yang diperbuat daripada logam seperti gangsa, tembaga dan loyang. Perkataan kendi berasal daripada ‘kundika’ dalam bahasa sanskrit. Kendi telah mengalami perubahan dari segi penghasilan dan bentuk akibat peredaran zaman. Jika dahulu ia dihasilkan daripada logam, kini kebanyakannya diperbuat daripada plastik atau kaca kerana lebih murah dan boleh didapati dalam pelbagai bentuk.
Selain fungsi utamanya sebagai medium menyimpan air minuman, masyarakat terdahulu juga menggunakan kendi untuk menyimpan wangi-wangian, mereneh ubat, serta sebagai peralatan dalam upacara keagamaan dan perkahwinan.