Penggunaan kenderaan bertransmisi automatik di jalan raya telah mengatasi penggunaan kenderaan transmisi manual. Namun begitu, sama ada anda masih baharu atau sudah berpengalaman sebagai pemandu, pilihan antara transmisi automatik atau manual selalunya bergantung ke atas individu. Ramai menganggap transmisi automatik lebih selesa dan mudah dikendalikan. Walau bagaimanapun, adakah anda mengendalikannya dengan cara yang betul? Ketahui lima cara betul dalam penggunaan transmisi automatik seperti berikut:
1) Jangan tukar gear ‘P’ ketika berhenti di lampu isyarat
Ramai menggunakan gear P (Parking) ketika berhenti di lampu isyarat sebagai langkah keselamatan daripada kereta bergerak ke hadapan atau ke belakang. Ia boleh menyebabkan kelewatan apabila anda ingin mula bergerak setelah lampu isyarat menjadi hijau. Cara yang betul ialah anda seharusnya menggunakan gear ‘N’ (Neutral) dan menarik brek tangan.
2) Pastikan anda tidak menekan tombol gear
Jangan kerap menekan tombol gear ketika menukar gear dari N ke D atau sebaliknya. Tombol gear berfungsi untuk melindungi anda daripada terlajak menukar gear yang secara tidak langsung boleh merosakkan kotak gear. Oleh itu, tombol ini hanya perlu digunakan ketika menukar gear dari P ke R atau sebaliknya, R ke N atau sebaliknya dan D ke L atau sebaliknya.
3) Tekan brek ketika menukar gear
Amalkan untuk menekan brek ketika menukar gear dari P ke D atau D ke R. Setiap kali anda menukar gear tanpa menekan brek, ia boleh memberi tekanan yang tidak diperlukan pada transmisi sehingga menyebabkan kerosakan gelung transmisi. Oleh itu, biasakan diri dengan menekan brek sebelum menukar gear dari P ke D atau D ke R dan sebaliknya.
4) Jangan guna fungsi over drive atau O/D dalam pemanduan biasa.
Overdrive atau O/D adalah fungsi gear tertinggi dalam transmisi kereta anda yang berfungsi untuk meningkatkan prestasi enjin. Gunakan O/D semasa hendak memotong kenderaan di hadapan anda dalam keadaan perlu sahaja. Elakkan penggunaannya ketika pemanduan biasa kerana ia boleh merosakkan kotak gear kenderaan anda dalam jangka masa panjang.
5) Gunakan gear rendah ketika mendaki bukit
Ketika anda memandu di kawasan bukit yang curam, gunakan gear rendah pada mod 1 atau 2 bagi menambahkan kuasa kereta ketika mendaki bukit. Ia juga secara tidak langsung dapat memanjangkan jangka hayat transmisi kereta anda.