Dalam suasana negara dilanda musibah COVID-19, penyebaran maklumat tidak sahih yang berlaku secara berleluasa adalah amat mendukacitakan. Di sebalik keghairahan dalam berkongsi maklumat, orang awam tidak sepatutnya menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh menyentuh sensitiviti dan mengganggu gugat ketenteraman masyarakat. Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diikuti bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih:
1) Jangan sebar maklumat yang tidak pasti
Berhenti sebarkan sesuatu berita atau maklumat yang anda tidak pasti akan kesahihannya. Terlalu banyak maklumat tersebar daripada pelbagai sumber yang ramai tidak pasti sama ada maklumat tersebut benar atau palsu. Anda digalakkan untuk meneliti setiap maklumat, dapatkan pengesahan dan barulah membuat keputusan bagi meneruskan perkongsian atau sebaliknya.
2) Semak kesahihan maklumat
Banyak berita palsu yang tular menerusi media sosial menggunakan logo, imej jata negara atau nama orang kenamaan bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat awam. Orang ramai yang berpotensi untuk mudah percaya dalam situasi sebegini perlu lebih berwaspada dengan menyemak kesahihan maklumat tersebut. Sekiranya tidak pasti, anda boleh melayari portal ‘sebenarnya.my’ yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan pengesahan.
3) Awasi informasi berunsur emosi
Maklumat yang berbaur emosi seperti kisah penderitaan dari hospital dan kutipan derma bagi mangsa yang mengalami kesempitan mudah tersebar dalam kalangan masyarakat. Penyebar maklumat yang ingin mendapatkan keuntungan selalu bermain dengan emosi dan perasaan pembaca. Sentiasa periksa terlebih dahulu ketulenan maklumat sejurus anda menerima sesuatu berita.
4) Semak ketulenan foto dan media
Penyebaran maklumat melalui foto, video dan rakaman audio boleh disunting untuk mengelirukan masyarakat. Bagi mengelakkan kekeliruan, sila rujuk pada sumber berita yang boleh dipercayai seperti agensi berita nasional, portal dan media sosial rasmi kerajaan.
5) Meningkatkan tahap kesedaran diri
Kita perlu sedar bahawa bukan semua maklumat yang disebarkan dalam Internet adalah benar dan tepat. Adalah menjadi tugas kita sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab untuk sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu maklumat dan tidak sewenang-wenangnya menekan butang share atau kongsi.