Songket ialah kain tenunan benang seni warisan Melayu yang amat tinggi nilainya. Atas rasa kesedaran dan komitmen untuk mengangkat, menyuburkan dan memartabatkan warisan songket Melayu, SPANCO menjalinkan kerjasama dengan pakar reka Alam Melayu, Prof. Dr. Che Husna Azhari, dengan memaparkan koleksi 12 jenis songket menerusi PRIHATIN sepanjang 2019 iaitu dua songket pilihan setiap keluaran. Menerusi edisi keenam dan terakhir ini, PRIHATIN mengetengahkan Songket Bengkulu dan Songket Palembang sebagai paparan.
Songket Bengkulu
Songket Bengkulu melalui fasa sukar untuk meneruskan kelangsungannya kerana industri tenun kini seakan-akan tidak ekonomik. Ada beberapa tempat kerajinan yang menenun songket di Bengkulu. Satu-satunya yang ada ialah di sebuah pekan kecil di desa Kampai, Kabupaten Seluma. Penenun terakhir di sini ialah Ibu Zubaidah.
Songket asli di Bengkulu adalah hasil tenunan masyarakat Pasemah (Basemah). Corak utama songket Pasemah ialah jalur berdiri dan petak catur dengan motif tampuk kesemak dan bintang pecah lapan serta disongket benang emas. Istilah menyungkit atau sungkit di Bengkulu dipanggil ‘cukit’.
Songket Pasemah makin hilang kerana kepupusan tukang cukit. Tenunan yang ada pula banyak menjadi artifak kolektor. Namun begitu, kedua-dua motif yang dipaparkan di sini masih dilestarikan dalam songket Bengkulu.
Motif langka di sini ialah bunga Rafflesia. Corak utama stelan songket Bengkulu ialah corak jalur berdiri dan pucuk rebung.
Badan kain di songket jalur menegak dengan motif bintang pecah lapan serta tampuk manggis. Corak jalur berdiri ini dibingkai oleh motif siku keluang, sirip, tampuk manggis skala sederhana, selain sirik serta awan larat dikendik. Motif pengapit badan ialah tampuk kesemak serta uduk-uduk silang. Tenun benang emas sangat sarat. Motif kepala kain ialah pucuk rebung iaitu selang-seli pucuk rebung tepi gigi yu dan lawi ayam. Kedua-dua pucuk rebung adalah pucuk rebung kendung.
Panel tengah ialah motif teluk berantai bunga cermai. Motif kaki kain ialah sirip serta motif ulangan bunga kerawang. Tenun kain songket Bengkulu ini sangat sarat serta halus dan kemas.
Songket Palembang
Songket Palembang sangat mewah pembuatannya. Sehingga pertengahan abad ke-20, benang emas yang digunakan ialah emas tulen 14 karat. Bila kain songket punah, benang emas dikitar semula untuk songket kain yang baharu. Benang tersebut ditera dengan jantung emas. Justeru, songket terhasil diberi jolokan ‘songket jantung’.
Warna tradisi adalah merah dan biru ungu. Namun, warna hijau dan merah muda atau bunga merah pepulut kini lebih gemar digunakan. Corak songket Palembang sangat inovatif. Ada penenun memasukkan unsur ikat dan yang terbaharu, sulaman. Bila ada sulaman, songket dipanggil Songket Teket. Bila warna kain terang dan meriah, maka songket dipanggil Songket Benang Emas Janda Berhias.
Bagi masyarakat Palembang, songket amat mustahak untuk majlis perkahwinan. Pengantin akan dihadiahkan tiga stelan songket iaitu songket basahan, songket lepus iaitu bunga penuh serta songket tawur untuk hari pernikahan.
Kain songket Palembang diandaikan sama halusnya dengan songket Terengganu. Terdapat 71 motif songket Palembang dan 22 sudah dipatenkan.
Stelan diteliti adalah jenis teket, iaitu songket dan sulaman. Corak utama kain ialah bunga tabur dan pucuk rebung serta teket.
Motif badan pengapit daripada pucuk rebung kendung bersaiz kecil, juga warna gemerlap. Motif kaki kain ialah siku keluang/gunungan dengan bunga pucuk, unduk-unduk. Di birai bawah kain ialah sulaman bunga cina.
Busana
Busana asas masyarakat Melayu ialah:
- Kain (lepas/panjang/sarung)
- Baju (kurung/gumbang/kebaya)
- Seluar
- Destar/setangan iseh
- Selendang/sebai/ikat pinggang/kelubung
Walaupun contoh yang diambil ialah selendang, kain dan sampin, pelbagai kain lagi boleh ditenun. Contohnya, stelan sampin dengan destar (setangan iseh) atau seluar, baju sikap dan sebagainya.