Penjagaan Sistem Brek

Pemanduan yang agresif seperti memecut dan membrek secara mengejut selain kerap terperangkap dalam kesesakan jalan raya adalah antara faktor yang mempercepatkan kehausan brek, demikian ditegaskan Ketua Kawalan Senggaraan dan Pusat Servis Diiktiraf SPANCO, Hebat Azali.

Di samping menghantar kereta ke pusat servis apabila sampai masanya, beliau berkata, penggunaan dan jangka hayat pelapik brek boleh dioptimumkan jika kita lebih berhati-hati ketika memandu seperti tidak membrek  secara mengejut dan kerap menekan pedal brek ketika pemanduan.

“Elak daripada mengekori kenderaan lain terlalu rapat kerana jika kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba, kita akan terpaksa menekan pedal brek dengan kuat dan ini akan menyebabkan pelapik brek menjadi haus dengan lebih cepat,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teknikal automotif.

“Kita juga tidak sepatutnya mengejar lampu isyarat kerana perbuatan itu memaksa kita membrek dengan mendadak apabila lampu bertukar merah.”

Selain itu, pemandu perlu peka kepada sebarang kerosakan dan segera memaklumkan kepada pusat servis jika mengesan masalah seperti bunyi nyaring atau kereta menjajar  apabila brek ditekan.

Brek yang lusuh kurang berkesan sekaligus membahayakan pemandu dan penumpang yang dibawa serta pengguna jalan raya lain.

Pemanduan agresif merosakkan brek

Cara memandu mempengaruhi jangka hayat brek. Hebat menjelaskan bahawa selain pemanduan agresif, faktor lain ialah membawa muatan berat atau memandu di jalan berbukit yang memerlukan pemandu menggunakan brek dengan lebih kerap.

“Pemanduan agresif menyebabkan lebih banyak brek digunakan kerana pemandu perlu menekan dengan kuat untuk memberhentikan kenderaannya,” katanya.

Justeru, cara terbaik memaksimumkan hayat brek ialah mengelakkan pemanduan agresif dan lalu lintas yang sesak.

Selain itu, ada baiknya untuk memandu dengan kelajuan yang stabil dan tidak meletakkan kaki di atas pedal brek dalam keadaan anda tidak perlu menggunakannya.

Brek depan lebih cepat lusuh

Hebat yang bertanggungjawab terhadap kelancaran operasi Jabatan Kawalan Senggaraan di SPANCO, sering menyampaikan taklimat teknikal kepada pengguna dan pemandu kenderaan SPANCO.

Beliau menjelaskan bahawa brek depan lazimnya didapati lebih cepat lusuh berbanding brek pada roda belakang. Ini kerana berat kenderaan terdorong ke hadapan ketika membrek, maka brek pada roda depan perlu menampung lebih beban bagi memberhentikan pergerakan.

Gaya pemanduan turut mempengaruhi kadar kelusuhan brek pada roda hadapan. Pemandu agresif yang kerap menggunakan brek dan menekannya dengan kuat lebih cenderung menyebabkan brek depan cepat menipis berbanding pemandu yang menekan brek secara cermat.

Servis cegahan

Hebat berkata, sebagai seorang pemandu, kita sebaiknya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi mengenai penjagaan kereta terutama ciri-ciri penting keselamatan termasuk brek kereta yang dipandu.

“Brek adalah ciri keselamatan terpenting sesebuah kenderaan. Justeru, mengabaikan penjagaannya atau memandu dengan brek yang tidak berfungsi dengan sempurna mengundang padah pada diri dan penumpang yang dibawa,” kata beliau yang turut berperanan memastikan prestasi Pusat-Pusat Servis Diiktiraf SPANCO (PSD) memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Pemandu yang bijak akan sentiasa peka dengan isyarat yang diberikan oleh kereta mereka. Brek yang disenggara dengan baik akan menyelamatkan nyawa dan begitulah sebalik, jika diabaikan boleh membawa padah.

Pemilik kenderaan juga perlu mematuhi jadual penyenggaraan. Bagi kereta Proton, kebiasaannya setiap 10,000km atau 6 bulan yang mana terdahulu.

“Apabila melakukan servis berjadual, pusat servis turut akan memeriksa tahap kesempurnaan brek dan dapat mengesan seterusnya mencegah kerosakan daripada berlaku terhadap sistem brek,” kata beliau.

Tanda amaran

Hebat menghuraikan beberapa tanda amaran yang mesti diberi perhatian segera mengenai brek kereta iaitu:

  • Bunyi bising – geseran, kisaran ataupun bunyi berdenting ketika membrek.
  • Hilang imbangan – kereta seperti ditarik ke kiri ataupun kanan ketika brek ditekan.
  • Pedal rendah – pedal brek perlu ditekan sehingga menyentuh lantai kereta sebelum mula mencengkam.
  • Pedal tinggi – pedal perlu ditekan sekuat hati sebelum brek mula mencengkam.
  • Terlalu sensitif – brek diaktifkan terlalu cepat walaupun dengan sentuhan ringan pada pedal.
  • Gegaran – pedal brek bergetar walaupun ditekan dalam keadaan biasa.
  • Amaran lampu – lampu amaran brek menyala pada paparan penunjuk papan pemuka kereta.
  • Semua isyarat di atas menunjukkan brek bermasalah. Jangan sesekali mengabaikannya. Sebaiknya, anda segera membawa kereta ke pusat servis untuk diperiksa atau dibaiki.

Penjagaan brek secara ringkas

Pemeriksaan brek yang dilaksanakan oleh SPANCO:

  • Paras bendalir brek
  • Kabel brek (jika ada) untuk mengesan karat dan bocor
  • Hos brek untuk sebarang rekahan
  • Pelapik brek untuk kelusuhan atau kesan kebocoran
  • Bearing roda
  • Brek tangan

Pemandu mesti peka kepada tanda-tanda kerosakan pada brek seperti:

  • Bau hangit pada tayar
  • Bunyi nyaring
  • Pedal brek yang kurang anjal
  • Kereta terpesong apabila membrek
  • Hantar kereta untuk pemeriksaan jika anda mengesan masalah di atas.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

Terkini

Warisan Loyang Cerana – Santunan Tetamu

Seni loyang merupakan warisan bangsa yang perlu kita pertahankan untuk tatapan generasi akan datang supaya ia tidak ditelan zaman seiring dengan arus pemodenan. SPANCO...

Tonton Video Si Cilik Menyediakan Juadah Raya

Resipi mudah untuk dilakukan bersama anak-anak anda di dapur. Aktiviti bersama dapat merapatkan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Jom! https://youtu.be/Xga2MNqqgH0 Bahan-bahan (untuk 50-60 biji): 4 cawan...

Pasukan Bantuan Kerosakan SPANCO – Sentiasa Bersama Mu

Kerosakan kenderaan boleh berlaku secara tiba-tiba dan di mana-mana sahaja. Walaupun pemeriksaan secara berjadual dilakukan, kerosakan tetap boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai punca. Walau...
00:04:04

Video Korporat SPANCO 2020

Bermula dengan 2,200 kenderaan pada tahun 1994, fleet yang diuruskan oleh SPANCO ketika ini telah mencecah hampir 13,000 kenderaan. Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran...

Penggunaan dan Manfaat E-Dompet

Zaman beralih musim berubah, kini dunia amat bergantung kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Dunia digital telah dikuasai masyarakat dari segi sosial, ekonomi, pendidikan dan...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!