Inisiatif Budaya Hijau SPANCO Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar

Setiap individu dan organisasi perlu mempunyai komitmen untuk menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar. SPANCO tidak terkecuali untuk terpanggil dan melaksanakan tanggungjawab korporat menerusi pemerkasaan nilai dan budaya yang diterapkan dalam operasinya ke arah matlamat itu. Komitmen itu dizahirkan dengan membentuk sekumpulan pegawai bertanggungjawab untuk menerajui inisiatif tersebut.

Antaranya, Helmi Mohd Nasir, Eksekutif Pentadbiran Pusat Servis di Pusat Servis Wilayah (PSW), Batu Caves yang mendapat sijil pengiktirafan dari Institut Alam Sekitar Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai seorang profesional alam sekitar yang diperakui dalam pengurusan sisa berjadual.

Langkah SPANCO menyediakan profesional dalam bidang itu seiring dengan keperluan Seksyen 49A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di mana perlu setiap organisasi mewujudkan tenaga kerja berkelayakan (competent person) bagi melaksanakan tugas-tugas berkaitan.

Ini bermakna, dengan memperolehi persijilan tersebut, Helmi dipertanggungjawab menguruskan hal berkaitan Buangan Terjadual (BT) serta memastikan hal berkaitan pencegahan, penghapusan, pengawalan pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling berada dalam kawalan.

Sebelum diiktiraf sebagai profesional alam sekitar, setiap calon terlebih dahulu perlu melalui proses saringan pemilihan yang ketat oleh pihak JAS selain perlu mempunyai kelayakan akademik serta pengalaman kerja. Seterusnya, calon perlu melalui beberapa sesi kelas serta perlu lulus ujian bertulis dan ujian mengenal pasti bahan BT.

“Sijil ini bertujuan melatih sesebuah organisasi seperti SPANCO menyediakan competent person bagi menguruskan hal berkaitan. SPANCO menyokong inisiatif hijau ini sebagai menyambut baik hasrat dan saranan dalam pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Urus Sisa Berjadual

Sebagai mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling, SPANCO melupuskan sisa dan bahan buangan seperti minyak enjin, bateri, tayar terpakai, alat ganti terpakai dan sebagainya mengikut prosedur ditetapkan.

“Pematuhan prosedur dalam operasi seperti ini turut memberi pendedahan kepada rakan kerja mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, SPANCO perlu mengelak daripada terdapat salah laku terutama dalam mengurus pelupusan bahan BT,” kata Helmi.

Bahan buangan sisa industri adalah antara sumber pencemaran utama alam sekitar. SPANCO yang mengawal selia dan menyenggarakan kenderaan yang begitu banyak maka sudah tentulah sisa yang terhasil dari servis yang dilakukan juga tinggi jumlahnya. Sisa-sisa seperti minyak hitam, bateri dan alat-alat ganti yang lusuh mengandungi logam berat dan bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh membolosi kitaran ekosistem jika tidak dilupuskan secara sistematik dan bertanggungjawab.

Helmi berkata, bagi memastikan semua BT dikawal selia dengan baik, pihaknya perlu mengurus dan merekodnya secara terperinci serta teratur. Ini bermula dengan menyediakan tempat khas bagi mengumpul dan menyimpan semua BT dengan selamat serta terkawal mengikut syarat ditetapkan oleh JAS sebelum ia dikutip untuk dilupuskan oleh kontraktor bertauliah dan berdaftar dengan JAS.

“SPANCO juga perlu menghantar laporan bulanan kepada JAS dalam bentuk sistem yang dikawal selia pihak JAS sendiri iaitu Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS),” katanya.

Sistem Maklumat Buangan Terjadual eSWIS adalah portal Internet yang membolehkan individu atau syarikat seperti SPANCO memfailkan secara dalam talian segala urusan berkaitan penghantaran dan pemindahan sisa berjadual.

Inisiatif Kertas Sifar

Selain itu, SPANCO turut melaksanakan inisiatif kertas sifar, iaitu pendigitalan dalam operasi harian pengurusan fleet.

Menurut Izharul Hafiz Zolkifli, Pengurus Kanan Operasi Rangkaian Pusat Servis, inisiatif kertas sifar dizahirkan terutamanya dengan tidak lagi mencetak dan mengedarkan pembentangan menggunakan kertas seperti yang lazim dilakukan tetapi sebaliknya menerusi slaid selain borang maklum balas, memo dan laporan menerusi emel.

Yang paling utama, SPANCO mengamalkan kaedah e-Approval dalam urusan penyenggaran kenderaan bagi kelulusan dan permohonan dalam Fleet Management Information System (FMIS) melibatkan Pusat Servis Diiktiraf (PSD). Ini menjimatkan proses dan masa bagi mendapatkan kelulusan.

Lain-lain amalan ialah:

  • Bagi Pasukan Pengurusan Hubungan Pelanggan (Customer Relationship Management – CRM), maklum balas dan status pengguna dicatatkan terus ke dalam sistem.
  • Menambahbaik proses di mana tablet disediakan untuk pihak Audit memeriksa kenderaan dan rakan sekerja di Bahagian Alat Ganti untuk menyemak stok.
  • Pihak Fomen turut melakukan pemeriksaan kawalan kualiti (QC) dengan menggunakan tablet.

Selain langkah-langkah yang dilaksanakan pihak Khidmat Selepas Jualan tersebut, SPANCO juga telah membangunkan portal majalah PRIHATIN yang boleh dibaca secara dalam talian bermula Mac 2019.

Reduce, Reuse, Recycle (3R)

Bagi menggalakkan inisiatif 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di PSW Batu Caves dan PSW Bangi, SPANCO mengamalkan penyisihan sampah (sisa umum, plastik dan kertas) serta pengurangan penggunaan tisu di tandas melalui pemasangan mesin pengering tangan berteknologi terkini jimat elektrik.

Menurut Helmi, pengasingan sisa pepejal bukan amalan baharu tetapi sudah dilaksanakan sejak 1 September 2015 dan tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Untuk menjayakan pematuhan itu, SPANCO telah menyediakan tong kitar semula dengan ruang pengasingan mengikut kriteria serta memberi pendedahan kepada pengguna dan rakan kerja mengenai sampah yang boleh dikitar semula sekaligus memudahkan tugas kontraktor pembersihan kerana sisa telah diasingkan.

Bagi inisiatif mengurangkan penggunaan tisu dan meningkatkan penggunaan mesin pengering tangan, SPANCO menyokongnya dengan menggunakan mesin yang jimat elektrik dan mempunyai kecekapan yang tinggi yang diperakui oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Bagi menyokong saranan penjimatan elektrik dan menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, Helmi berkata, SPANCO telah pun melaksanakan penukaran lampu kalimantang biasa kepada jenis LED (light emitting diode atau diod pemancar cahaya) yang dikawal alat pemasa (timer) bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.

“Lampu pendaflour telah ditukar kepada lampu LED secara berperingkat bagi mengawal penggunaan tenaga elektrik. Semua suis lampu dan plag turut ditanda dengan tag peringatan penjimatan elektrik. e-Voucher mengenai penjimatan lampu dan kecekapan tenaga elektrik turut dimaklumkan menerusi emel sebagai peringatan kepada pekerja,” katanya.

“Sebanyak 19,000kW tenaga mampu dijimatkan dalam sebulan melalui pelaksanaan ini,” jelas Helmi lagi.

Guna Tenaga Diperbaharui

Selain itu, SPANCO telah mengambil langkah awal dalam penggunaan panel solar bagi mengurangkan kebergantungan tenaga elektrik yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“SPANCO juga dalam cadangan untuk mengitar semula air hujan berikutan keluasan bumbung premis kedua-dua lokasi. Ini turut dapat menjimatkan kos perbelanjaan terhadap penggunaan air,” katanya.

Sementara itu, Izharul Hafiz berkata, bagi pembelian alat ganti, SPANCO terikat dengan Proton sebagai ‘Principal’ sekaligus pihak Proton hanya membekalkan alat ganti mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Daripada segi bahan seperti bahan kimia serta alatan mencuci, SPANCO perlu mendaftar bahan tersebut dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di mana pemeriksaan akan dilakukan oleh pihak jabatan secara mengejut. Antara jenis data yang perlu dihantar berkaitan hal ini adalah Daftar Bahan Kimia (Chemical Register) dan Risalah Keselamatan Data Bahan Kimia (Safety Data Sheet).

“Oleh demikian, pembekal hanya membekalkan bahan-bahan yang selamat digunakan oleh pihak SPANCO dan JKKP,” katanya.

Melalui inisiatif-inisiatif yang direncanakan, SPANCO berhasrat untuk membudayakan komitmen menjaga alam sekitar dalam operasi organisasi selaras inisiatif Kerajaan dan masyarakat antarabangsa menangani pencemaran dan pemanasan global.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

5 Tanda Menukar Tayar Kereta

Menukar tayar kereta adalah satu aspek penting dalam penjagaan kenderaan agar anda dapat memandu dengan selesa. Di samping memastikan keselamatan, tayar yang berada dalam...

Cara Memilih Minyak Enjin Sesuai untuk Kenderaan Anda

Minyak enjin memainkan peranan yang penting dalam prestasi kenderaan. Pemilihan minyak enjin yang sesuai adalah langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan...

Langkah Menjaga Keselamatan Ketika Bercuti untuk Perjalanan Tanpa Risiko

Ramai mesti merancang percutian sempena hujung tahun dan cuti sekolah bagi meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan peningkatan kes COVID-19, adalah penting untuk...

5 Destinasi Percutian di Lembah Klang yang Mempesonakan

Cuti sekolah adalah waktu yang tepat untuk merancang percutian bersama keluarga, dan Lembah Klang menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk dinikmati. Dari pusat bandar yang...

Majlis Penyerahan 69 Buah Model Kereta Perodua Aruz SUV 1.5x kepada IPD Kuching

8 Disember 2023 - Majlis penyerahan kereta konsesi kerajaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah diadakan di dewan terbuka Ibu Pejabat Kontigen (IPK)...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!