Berbasikal Sihatkan Tubuh & Minda

BERBASIKAL kini menjadi kegiatan popular selain murah, selamat dan efektif untuk menampilkan kesihatan dan susuk tubuh menarik. Riadah ini juga telah menjadi fenomena yang tidak dibatasi oleh latar belakang sosial seseorang dan lapisan usia.

Riadah ini menyeronokkan dan mampu mengeratkan ikatan insani  jika dilakukan bersama  keluarga dan sahabat.  Menunggang basikal juga mampu mengurangkan kos pengangkutan bagi mereka yang ingin berjimat.

Berbasikal adalah senaman terbaik. Ia mampu mengeluarkan banyak peluh  yang  mengandungi racun dan toksin dalam badan sekaligus membuatkan kulit kelihatan lebih berseri dan awet muda selain menstabilkan keseluruhan otot  tubuh terutama bahu dan pinggul.

Seorang individu seberat 100 kilogram (220 paun) yang berbasikal ke tempat kerja setiap hari, akan membakar sehingga 1,050 kcal dalam tempoh satu jam perjalanannya. Ini  bermakna, hanya dengan berbasikal, individu tersebut telah membakar 5,250 kcal dalam tubuhnya dalam masa lima hari bekerja tanpa mengamalkan diet yang menyulit atau menyeksakan.

Faedah Kesihatan

Mengurangkan Risiko Penyakit

Berbasikal amat baik untuk kesihatan jantung. Ketika berbasikal,  pengaliran darah ke jantung akan meningkat sekaligus jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya berdegup dengan lebih baik. Keadaan ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 50%. Berbasikal juga mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan diabetes.

Kajian pihak British Medical Association mendapati,  berbasikal amat sesuai diamalkan penghidap bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan memperbaiki fungsi paru-paru.

Pendedahan kepada cahaya matahari yang  kaya  vitamin D ketika berbasikal adalah bagus untuk kesihatan hingga mampu mencegah penyakit osteoporosis, kanser payu dara dan kanser prostat. Selain itu, riadah ini mampu menguatkan sistem imunisasi  tubuh, mengatasi insomnia  kerana berbasikal mampu meningkatkan kualiti tidur.

Merawat Artritis

Berbanding senaman lain, berbasikal tidak memberikan tekanan kepada sendi atau tulang rawan. Sebaliknya, ia membantu menyihatkan otot dan sendi  kaki serta menguatkan tulang rawan. Keupayaan ini secara tidak langsung mengurangkan risiko serangan artritis dan bengkak sendi.

Memperbaiki Mood

Berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekaligus mengusir keluar segala perasaan negatif terutama stres. Perembesan keluar endorphin akan memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormon individu serta  menjadikan seseorang  lebih positif dalam menjalani kehidupan.

Menurunkan Kadar Kolesterol

Pergerakan otot paha, lengan dan pinggul ketika  berbasikal sangat efektif dalam menurunkan kadar kolesterol dalam tubuh. Dengan berbasikal tiga kali seminggu dan satu jam setiap sesi,  paras kolesterol yang tinggi akan berada di tahap sepatutnya.

Menguatkan Tulang

Berbasikal secara rutin membantu menguatkan tulang di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang. Ini bermakna, risiko untuk mengalami patah atau kecederaan tulang akan berkurangan. Kajian menunjukkan, individu yang aktif berbasikal jarang mengalami patah tulang pinggul apabila tua. Selain itu,  berbasikal akan menguatkan tulang kaki dan mobiliti terbaik untuk pinggul dan sendi lutut. Kanak-kanak amat digalakkan untuk berbasikal kerana ia mampu menguatkan kaki  dan mendorong mereka lebih tinggi.

Merehatkan Minda

Riadah ini  juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika berbasikal pada awal pagi atau lewat malam.  Udara segar pada kedua-dua waktu itu mampu menenangkan fikiran sekaligus mengusir stres selain meningkatkan kepekaan dan daya konsentrasi individu.

Sumber Portal myHealth http://aktif.myhealth.gov.my/berbasikal

Peralatan dan Aksesori Berbasikal

Riadah atau sukan berbasikal terbahagi kepada dua – Road Bike dan Mountain Bike. Road Bike digunakan di jalan dan lebuh raya. Mountain Bike pula untuk kayuhan di jalan lasak (offroad) tetapi tetap boleh dikayuh di jalan raya dengan menukar tayar yang mempunyai bunga yang sesuai.

Peralatan tambahan untuk berbasikal ialah sarung tangan, pakaian lateks, topi keselamatan, meter berkomputer (untuk mengukur kelajuan, jarak kayuhan dan kalori yang dibakar oleh badan) serta alat GPS (untuk pandu arah dan lokasi).

Kini terdapat banyak kedai menjual alat ganti dan aksesori basikal dengan harga berbeza. Ramai penggemar riadah dan sukan berbasikal sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk bergiat dalam sukan yang sihat dan menyeronokkan ini.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

Terkini

Faktor Kerosakan Penyaman Udara Kereta

Penyaman udara dalam kereta memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan pemandu dan penumpang. Walau bagaimanapun, pengabaian terhadap fungsi penyaman udara boleh membawa kepada kerosakan...

Kenderaan Autonomi Generasi Baharu

Perkembangan teknologi semasa telah mendorong pengeluar kenderaan membangunkan pelbagai sistem baharu sebagai langkah menginovasikan industri automotif. Penciptaan kereta autonomi adalah antara pembaharuan pengeluar yang...

Warisan Loyang : Instrumen Persuratan

SPANCO telah meneruskan jalinan kerjasama dengan pakar reka Alam Melayu, Prof. Dr. Che Husna Azhari dalam menjulang warisan seni loyang ke persada yang lebih...

Destinasi Pelancongan Pulau Yang Menarik

Pulau-pulau di Malaysia kini menjadi tumpuan pelancong dan merupakan destinasi percutian utama kerana keindahan kawasan yang cantik dan mempesonakan. Setelah puas terperuk akibat pandemik...

Fleet SPANCO Mencecah 13,000 Kenderaan

SPANCO memulakan operasi pada Januari 1994 dengan 2,200 buah kenderaan. Setelah 27 tahun berlalu, Julai 2020 melakar sejarah baharu apabila fleet kenderaan Kerajaan Persekutuan...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!