Dalam usaha mengangkat dan memartabatkan warisan songket Melayu ke persada lebih tinggi, SPANCO menjalinkan kerjasama dengan pakar reka Alam Melayu, Prof. Dr. Che Husna Azhari, bagi melaksanakan inisiatif menyuburkan warisan budaya itu menerusi paparan koleksi 12 jenis songket sepanjang 2019 dalam PRIHATIN Berita SPANCO iaitu dua songket pilihan dalam setiap keluaran. Bagi edisi keempat ini, PRIHATIN mengetengahkan Songket Bima dan Songket Pandai Sikek.
Songket Bima
Stelan songket Rabadompu ciri khas Bima yang dipaparkan ini hasil tenunan perajin toko di Rabadompu Timur, Sumbawa, Nusa Tenggara Barat yang terdiri daripada selendang dan kain untuk wanita.
Kawasan tenunan songket di Pulau Sumbawa dipayungi oleh tiga kesultanan iaitu Bima, Dompu dan Sapi. Yang masih kekal bertahan sehingga hari ini ialah di Bima dan Kabupaten Rabadompu. Songket Bima ditenun menggunakan gedongan (backstrap loom). Justeru, teranya kecil dan harus dikampuh (cantum) untuk kain.
Kain ini memaparkan kumpulan warna-warna khas Kesultanan Bima iaitu biru laut, merah Melayu dan hitam iaitu warna satria (kepahlawanan). Kerajaan Bima diislamkan oleh Raja Goa (Makasar). Oleh itu, banyak pengaruh Sulawesi dapat dilihat di Bima, termasuk kaedah tenun dan motif.
Benang untuk tanah kain ialah sutera yang asalnya dari Sengkang, Sulawesi. Namun kini, suteranya mungkin dari China. Benang songket pula warna emas.
Songket Pandai Sikek
Stelan songket Pandai Sikek, Rumah Tenun Pusako Pandai Sikek diasaskan oleh Ibu Sanuar, Ranah Minang.
Ranah Minang terkenal dengan tiga jenis songket iaitu Pandai Sikek, Songket Silungkang dan Warisan Leluhur. Tenun songket Ranah Minang sangat halus dan banyak menggunakan motif geometri.
Songket Silungkan dirintis oleh seorang pembesar yang kembali dari Melaka pada abad ke-16.
Motif songket Ranah Minang ialah daun sirih gadang, keluk paku, itik pulang petang, pucuk rebung, badar mudik, akar cina dan bunga antium (mentimun).
Corak utama kain songket Pandai Sikek ialah pucuk rebung berjuang dan bunga teluk berantai.
Motif utama dalam kepala kain ialah pucuk rebung yang kuncup hujungnya dan berjuang iaitu bersentuhan di hujung. Motif ini diselang seli dengan motif daun yang berjuang juga iaitu saling bersentuhan.
Terdapat tiga motif di pengapit iaitu bunga potong wajik dan bunga potong putu dalam motif geometri heksagon. Di antara dua motif ini ialah motif khas Ranah Minang iaitu bunga antium.
Motif (bahagian I)
Tumpuan paparan 12 jenis songket Melayu yang diberi nama Warisan Songket Melayu yang dipaparkan PRIHATIN Berita SPANCO ialah pada motif, warna dan latar belakang sejarah individu setiap kain. Setiap kain adalah hasil yang mempunyai kesenian dan nilai estetika tersendiri, justeru mesti dikenali secara individu.
Secara amnya pemilik koleksi menerangkan aspek motif kepada corak utama iaitu:
- Bunga penuh atau jong sarat.
- Bunga bertabur.
- Corak jalur – jalur corak berdiri dan corak melintang.
- Siku keluang.
- Tapak catur.
- Pucuk rebung.
Pengelasan awal ini diikuti dengan penerangan bahagian kain dan motif khusus. Pemilik koleksi cuba mengenal pasti semua motif sebaik dan setepat mungkin, namun mengakui bahawa tidak kesemuanya berjaya dirakamkan dan mungkin terdapat perbezaan pendapat mengenai penamaan atau pengklasifikasian motif yang ada.
Ikuti sambungan mengenai motif yang digunakan pada kain songket dalam PRIHATIN Berita SPANCO akan datang