SPANCO secara keseluruhan menguruskan lebih 35,000 kenderaan terkumpul sejak beroperasi pada 1994 dengan perkhidmatan di dua pusat servis utama di Batu Caves dan Bangi serta disokong lebih 200 rangkaian Pusat Servis Diiktiraf (PSD) di seluruh negara.
Untuk tempoh itu, SPANCO melabur lebih RM30 juta bagi menyediakan kemudahan dan infrastruktur pusat servis. Sebanyak RM12 juta lagi diperuntukkan bagi sistem dan teknologi sebagai komitmen jangka panjang SPANCO dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Malaysia.
Dua pusat servis utama SPANCO iaitu Pusat Servis Wilayah (PSW) Batu Caves dan PSW Bangi dibina bagi memenuhi piawaian mutu tertinggi selain menyediakan ruang servis yang luas, bersih lagi selesa serta dilengkapi peralatan termaju.
Kedua-duanya bukan setakat mencapai jangkaan malah menjangkaui tahap perkhidmatan yang termaktub dalam perjanjian konsesi.
PSW Batu Caves Penanda Aras Perkhidmatan
Selepas 11 tahun beroperasi, pusat servis serantau di Segambut, Kuala Lumpur ditutup secara rasmi untuk memberi laluan kepada PSW Batu Caves yang lebih canggih, luas dan sistematik. PSW Batu Caves dibuka pada Julai 2005. Ia bertindak sebagai pusat servis sehenti yang turut menempatkan pusat pentadbiran operasi fleet dan pusat simpanan kereta.
Menelan belanja RM13 juta, PSW Batu Caves dibina di atas tapak seluas lebih 5 ekar dengan kawasan terbina berkeluasan 24,254 kaki persegi. PSW ini menyediakan kemudahan menyeluruh di bawah satu bumbung, menggabungkan teknologi terkini dan peralatan automotif termaju dengan 29 petak servis yang berupaya menyiapkan 110 servis sehari.
Ia turut memanfaatkan peralatan mesra alam dan menepati piawaian tertinggi pihak pengeluar Proton seperti Multi Unit Tester (MUT), alat penjajaran roda berkomputer, alat pam minyak pneumatik dan pengumpul sisa serta pengecas gas pendingin udara automatik.
PSW Batu Caves adalah wakil servis sah Proton Edar dan mendapat pengiktirafan ISO 9001:2008 iaitu piawaian mutu antarabangsa serta sijil piawaian mutu sektor penyenggaraan dan servis fleet kenderaan.
Bagi mencapai tahap profesionalisme dan kecekapan paling tinggi, pengiktirafan itu dipertingkatkan kepada ISO 9001:2015 pada 2017.
PSW Batu Caves turut menjadi penanda aras kepada tahap perkhidmatan SPANCO di PSW Bangi dan semua PSD di seluruh negara.
PSW Bangi Pertingkat Kecekapan Operasi Fleet
Bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya, SPANCO menempatkan semula pusat servis utama dari Puchong ke Bangi, Selangor pada 2003.
Jarak perjalanan lebih dekat iaitu kira-kira 10 minit dari Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya memberi kelebihan kepada PSW Bangi dalam menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan.
Bagi memberi lebih komitmen kepada kerajaan, PSW Bangi kemudian dipindahkan pada Jun 2012 ke lokasi berhampiran yang baharu seperti yang ada sekarang di atas tapak seluas 2 ekar dengan kawasan terbina 20,000 kaki persegi.
Menelan belanja RM11 juta untuk disiapkan, PSW Bangi menawarkan kemudahan dan infrastruktur lebih luas, lapang serta selesa. Pusat servis ini kesinambungan pelaburan jangka panjang SPANCO setelah PSW Batu Caves dibuka pada 2005.
PSW Bangi juga wakil servis sah Proton Edar dan mendapat pengiktirafan ISO. Ia mengoptimumkan penggunaan tenaga yang mesra alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan berintegrasi sepenuhnya melalui konsep servis di bawah satu bumbung.
PSW Bangi menyediakan 24 petak servis dan mampu menyiapkan 90 servis sehari melibatkan tugas penyenggaraan berjadual, pembaikan mekanikal, rombak rawat, hawa dingin, pendawaian elektrik, pencucian serta penggantian, pengimbangan dan penjajaran tayar dilakukan secara tersusun dan lancar melalui peruntukan satu petak servis untuk seorang mekanik.