Sejarah Ringkas Ciri-Ciri Keselamatan Yang Terdapat Pada Kenderaan

Dengan teknologi serba maju dewasa ini, membolehkan kenderaan dicipta dengan pelbagai ciri kelengkapan dan peralatan canggih yang menjadikan pemanduan jauh lebih selamat berbanding kenderaan dahulu. Ikuti secara ringkas sejarah perkembangan ciri-ciri keselamatan pada kenderaan.

1. Penyandar Kepala

Memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan kecederaan serius pada tengkuk semasa kemalangan. Ia berfungsi menghalang kepala dari bergerak ke hadapan dan ke belakang yang berpunca daripada gegaran semasa pelanggaran. Selain boleh diselaraskan secara manual, terdapat kenderaan yang dilengkapi penyandar kepala yang disesuaikan secara automatik mengikut perubahan kedudukan kepala dan tempat duduk.

Penyandar kepala untuk automobil telah dipatenkan secara rasmi di Amerika Syarikat pada 1921. Amerika Syarikat kemudiannya telah mewajibkan penggunaan penyandar kepala bagi semua kenderaan baharu pada 1969.

2. Tali Pinggang Keledar

Memastikan pemandu dan penumpang sentiasa berada di dalam kenderaan semasa kemalangan berlaku, tali pinggang keledar menahan pemakainya daripada terhumban akibat tolakan dan mengurangkan risiko hentakan pada stereng, papan pemuka dan cermin hadapan.

Bermula dengan reka bentuk mudah 2-punca yang dicipta pada awal kurun yang lalu, tali pinggang keledar telah berkembang kepada 3-punca seperti yang terdapat pada hari ini. Rekaan ini dipatenkan oleh Syarikat Volvo pada 1959 dan ia kemudian telah digunakan secara meluas sejak 1970.

3. Beg Udara

Semasa berlaku kemalangan, beg udara mengembang untuk bertindak sebagai kusyen bagi mengurangkan daya hentakan ke atas penumpang-penumpang di dalam kenderaan. Bagaimanapun perlindungan hanya berkesan apabila digunakan secara serentak dengan penggunaan tali pinggang keledar.

Dicipta seawal tahun 1950-an, beg udara mula digunakan di dalam kenderaan pada 1970-an. Namun ia tidak mendapat sambutan kerana tidak sesuai dengan penggunaan tali pinggang keledar pada ketika itu sehinggalah diperkenalkan semula oleh Mercedes-Benz pada 1981. Beg udara untuk pemandu telah dipasang secara meluas bermula pada awal 1990-an dan kemudian, beg udara penumpang, sisi dan kepala pula menyusul pada tahun-tahun berikutnya.

4. Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)

ABS menghalang roda dari terkunci dan tergeluncur semasa brek ditekan dengan kuat dalam situasi cemas. Ia membolehkan pemberhentian yang stabil tanpa memerlukan kaki mengepam brek berulang kali sekali gus membantu pemandu mengekalkan kawalan stereng dan menghindar risiko pelanggaran.

Teknologi ABS sebenarnya dibangunkan untuk industri penerbangan bagi mengelak roda kapal terbang dari terkunci semasa pendaratan. Ia diperkenalkan kepada industri automotif sekitar tahun 1970-an dan menjadi peralatan standard pada kebanyakan kenderaan bermula pada akhir 1980-an.

5. Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)

ESC direka untuk membantu pemandu mengekalkan kawalan stereng ke atas kenderaan di selekoh tajam. Ia menstabilkan pergerakan sama ada dalam keadaan membuang (oversteer) atau terbabas (understeer) dengan menyesuaikan cengkaman brek pada mana-mana tayar secara berasingan. Jika perlu, ia juga akan mematikan kuasa dari enjin ke atas roda, sehingga kereta dapat dikawal semula.

Teknologi ESC telah dibangunkan serentak oleh kebanyakan pengeluar kenderaan semenjak 1980-an. Toyota mula mengeluarkan kenderaan yang dilengkapi kawalan anti gelincir elektronik pada tahun 1983 dan ESC menjadi standard sejak awal 1990-an.

6. Zon Remuk

Zon remuk adalah seperti akordion yang mudah diremukkan apabila dilanggar. Ia dibina dengan menjadikan ruang penumpang lebih kukuh berbanding struktur luaran. Struktur luar kenderaan akan menyerap hentakan dari pelanggaran dan mengalihkannya dari terkena pemandu dan penumpang yang berada di dalam, seterusnya mengurangkan risiko kecederaan.

Zon remuk dicipta oleh jurutera Mercedes-Benz pada 1952 berlandaskan konsep lebih awal sebelumnya dan mula digunakan pada model 220 di tahun 1959. Pada 1990-an, Volvo pula melancarkan sistem perlindungan sisi yang menyerap hentakan dari perlanggaran sisi.

7. Cermin Anti Pecah dan berderai

Cermin hadapan kereta diperbuat daripada dua lapisan kaca kalis berderai yang dilaminasikan supaya tidak mudah pecah menjadi serpihan-serpihan kaca tajam yang berselerakan semasa kemalangan. Ini dapat mengurangkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Lapisan kaca kalis berderai ini telah dicipta oleh ahli kimia Perancis pada 1903, bagaimanapun hanya diperkenalkan untuk kenderaan di United Kingdom apabila Akta Pengangkutan Jalan 1930 yang diluluskan parlimen negara itu mewajibkan penggunaannya.

8. Kamera Undur

Kamera undur mengatasi kekurangan pada cermin pandang belakang dengan menyediakan pandangan yang penuh dan jelas kepada pemandu. Setiap kali pemandu memasukkan gear undur, skrin pada papan pemuka akan memaparkan imej daripada kamera yang dipasang pada bampar belakang yang dihubungkan kepada sistem infotainment kereta.

Kamera undur digunakan buat pertama kali pada kereta konsep buatan Buick pada 1956. Ia kini satu kemudahan standard terutama sekali pada SUV dan kenderaan pacuan empat roda yang tinggi.

9. Teknologi Bluetooth

Bluetooth membolehkan telefon pintar diselaraskan dengan sistem audio kereta. Pemandu boleh memberikan arahan suara dan masih boleh menggunakan telefon tanpa perlu melepaskan tangan dari memegang stereng.

Teknologi tanpa wayar bagi penghantaran data jarak dekat ini dicipta oleh Syarikat Ericsson pada 1994, namun hanya benar-benar diaplikasikan pada awal abad ini. Sejak itu, ia telah mengalami beberapa peningkatan versi dan kini digunakan secara meluas pada pelbagai peranti termasuk di dalam kenderaan.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

5 Tanda Menukar Tayar Kereta

Menukar tayar kereta adalah satu aspek penting dalam penjagaan kenderaan agar anda dapat memandu dengan selesa. Di samping memastikan keselamatan, tayar yang berada dalam...

Cara Memilih Minyak Enjin Sesuai untuk Kenderaan Anda

Minyak enjin memainkan peranan yang penting dalam prestasi kenderaan. Pemilihan minyak enjin yang sesuai adalah langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan...

Langkah Menjaga Keselamatan Ketika Bercuti untuk Perjalanan Tanpa Risiko

Ramai mesti merancang percutian sempena hujung tahun dan cuti sekolah bagi meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan peningkatan kes COVID-19, adalah penting untuk...

5 Destinasi Percutian di Lembah Klang yang Mempesonakan

Cuti sekolah adalah waktu yang tepat untuk merancang percutian bersama keluarga, dan Lembah Klang menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk dinikmati. Dari pusat bandar yang...

Majlis Penyerahan 69 Buah Model Kereta Perodua Aruz SUV 1.5x kepada IPD Kuching

8 Disember 2023 - Majlis penyerahan kereta konsesi kerajaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah diadakan di dewan terbuka Ibu Pejabat Kontigen (IPK)...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!