Trend Industri Automotif 2019

Industri automotif dunia dikhuatiri agak lembap susulan penjualan yang menguncup berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bagaimanapun dari sudut teknologi, pengeluar-pengeluar kereta dunia masih meneruskan perlumbaan membangunkan produk masing-masing yang diharap mampu mengupah landskap automotif untuk dekad-dekad yang akan datang.

Apakah perkembangan yang perlu diberi perhatian bagi tahun hadapan? Berikut adalah trend utama yang diramal untuk 2019 yang dipetik daripada American Mechanic, sebuah blog automotif di Amerika Syarikat.

Permintaan Sedan Dijangka Menurun

Di Amerika Syarikat yang merupakan antara peneraju dan ‘trendsetter’ industri automotif dunia, pengilang-pengilang kereta seperti Ford dan Chevy telah memutuskan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran kereta sedan mereka berikutan permintaan yang menurun. Pada April 2018 yang lepas, Ford mengumumkan untuk menamatkan pengeluaran kesemua model sedan dari kilang mereka kecuali Mustang dan Focus Active, seterusnya bercadang menumpukan 90% pengeluaran kepada SUV, crossover dan trak menjelang 2020. Chevy juga bakal mengikut jejak yang serupa.

Trend Menjurus Kepada Elektrik

Salah satu trend pada 2018 ialah peningkatan populariti kenderaan elektrik (EV). Ia jelas terlihat dengan kebanjiran EV dari Eropah ke seluruh dunia di mana hampir kesemua jenama dari sana mengeluarkannya selain hibrid plug-in. Jumlah EV yang terjual pula dijangka mencecah 1.4 juta unit pada 2018 khususnya untuk pasaran China dan Amerika Syarikat. Juga semakin banyak stesen pengecasan elektrik dibina di Amerika Syarikat dan Eropah yang secara tidak langsung menjurus kepada peningkatan populariti EV bagi tahun berikutnya.

Kereta-kereta Akan Terus Diautomasikan

Trend kereta yang boleh memandu sendiri akan terus popular. Walaupun dikaitkan pelbagai insiden dan kontroversi, namun kereta autonomous dijangka akan terus menarik minat pengguna. Kerajaan Amerika Syarikat turut membantu ke arah trend ini dengan meluluskan rang undang-undang bagi menyokong kajian dan pembangunan teknologi pandu sendiri. Beberapa syarikat terkemuka termasuk Ford, Toyota dan Google membelanjakan pelaburan tinggi di dalam bidang ini dan dijangka lebih banyak firma teknologi dan pengeluar kenderaan akan bekerjasama untuk bersama-sama membangunkannya.

Autonomous Akan Dikomersialkan

Masih mengenai subjek automasi. Pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2018 yang berlangsung di Las Vegas, Nevada di Amerika Syarikat, Toyota, antara pengeluar kereta terbesar dunia telah buat julung kalinya mendedahkan e-Pallette, sebuah kenderaan konsep yang bukan sahaja mampu memandu sendiri tetapi juga boleh dikonfigurasikan untuk kegunaan pelbagai model dan keperluan perniagaan yang khusus. Sebagai contoh ia boleh menjadi sebuah teksi atau sebuah kenderaan yang menyedia dan menghantar piza sekali gus. Pelbagai lagi kegunaan boleh dilakukan oleh kenderaan autonomous yang mudah suai ini.

AI Diterapkan Dalam Kenderaan

Menyusuri trend penggunaan AI dalam segenap segi kehidupan, pengeluar-pengeluar kereta telah mengumumkan usaha sama dengan firma-firma teknologi terkemuka seperti Microsoft, Apple dan Google. BMW dan Google contohnya menjalinkan kerjasama untuk menyediakan Google Assistant di dalam kenderaan dan Alexa oleh Amazon dijangka akan menyusul.

Pelan Langganan Kereta

Pelan langganan seperti Amazon Prime untuk video, dan Apple atau Spotify untuk muzik bukanlah sesuatu yang baharu malah akan diterapkan untuk langganan kereta. Di Amerika Syarikat, pengeluar kereta seperti Lincoln, Porche dan Cadillac telah pun menyediakan khidmat pelan langganan ini. Ia membolehkan para pelanggan menaiktaraf kenderaan masing-masing kepada yang baharu dengan mudah dan lebih cepat berbanding pembelian secara terus atau sewa beli.

Sistem Elektrik Dipertingkatkan

Penaiktarafan sistem pendawaian elektrik kenderaan daripada 12-volt kepada 48-volt telah lama dibincangkan di kalangan pengeluar kereta. Selain lebih berkuasa, sistem pendawaian elektrik 48-volt menggunakan ruang yang lebih kecil, justeru membebaskan sudut di dalam kereta untuk kegunaan-kegunaan yang lain, sekali gus membuka peluang untuk teknologi pandu sendiri dan IOT dibangunkan dengan lebih pesat secara lebih meluas.

Sumber: Rencana ini diterjemah dan diolah semula dari rencana asal oleh American Mechanic.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

Tanda Kereta Memerlukan Penjajaran Roda

Penjajaran roda sangat penting untuk memastikan pergerakan tayar kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan selamat. Tayar kereta yang bermasalah atau haus boleh menjejaskan pemanduan...

Kecuaian Penjagaan Kereta Membawa Padah

Kecuaian ketika memandu merupakan punca utama berlakunya kemalangan. Sikap pemanduan ini juga boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan dan peralatan yang terdapat pada kenderaan. Disenaraikan...

Pertandingan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia

Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dimulakan secara meriah dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Julai lalu. Bagi...

Lokasi Makanan Popular Di Ipoh

Ipoh sangat popular bukan sahaja kerana terdapat banyak tempat menarik malah ia meraih perhatian pelancong disebabkan makanan lazatnya. Kunjungi tempat makan berikut jika anda...

Tanda-Tanda Kerosakan Termostat

Termostat merupakan salah satu komponen penting dalam pengendalian sistem kenderaan. Termostat juga membolehkan sistem enjin mengekalkan suhu yang betul dan enjin berada dalam keadaan...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!