Songket Pahang dan Songket Acheh

SPANCO telah menjalinkan kerjasama dengan pakar reka Alam Melayu, Prof Dr Che Husna Azhari, dalam usaha mengangkat dan memartabatkan warisan songket Melayu ke persada yang lebih tinggi. Sesungguhnya, seni songket adalah artifak yang memaparkan keanggunan dan kehalusan seni budaya bangsa.

Ia juga melambangkan keunggulan jati diri yang unik serta kaya dengan nilai keindahan mahupun estetika. Ketelitian dalam penghasilannya adalah melalui gabung jalin kepelbagaian motif yang melambangkan corak pandangan dan pemikiran masyarakat.

Bagi menghidupkan warisan budaya yang tiada terbanding nilainya ini, Prihatin mengambil inisiatif mempersembahkan 12 koleksi songket sepanjang 2019 iaitu setiap keluaran akan mengetengahkan dua koleksi warisan songket pilihan. Pada edisi pertama, Prihatin memaparkan keunikan hasil seni songket Kelantan dan Terengganu. Bagi edisi kedua, ditampilkan pula songket Pahang dan Acheh.

Songket Pahang

Koleksi kain samping lelaki songket tenun Pahang yang dipaparkan di sini mempunyai songket di bahagian kepala kain sahaja. Kain tenun jalur menegak sebegini sering digunakan sebagai samping oleh orang lelaki ataupun dijahit sebagai baju sikap.

Benang yang digunakan ialah sutera asli dari China. Warna kain sangat lembut iaitu kuning air dan ungu (atau abu). Tanah kepala kain berwarna ungu tetapi tampak keseluruhannya berwarna kuning cempaka kerana motif disongket dengan benang emas.

Motif badan ialah jalur menegak/berdiri ditenun tanpa disongket. Kain tenun lazimnya terdiri daripada motif jalur menegak atau papan cetak. Antara contoh kain motif jalur dan berpetak ialah kain tenun Pattani (Kok Yo/Pulau Yu), Kelantan, Bugis, Terengganu, Johor dan beberapa tempat selain Pahang.

Pada kepala kain, motif disusun berlapis dengan motif tertentu pada setiap lapis yang dipisahkan dengan motif jalur melintang. Inilah ciri khas tenun kain Mastuli (sutera tebal) tenun Pahang. Justeru, tidak hairan sekiranya ia banyak diterapkan dalam kain sarung ini. Kain Mastuli lebih berat berbanding sutera yang lazim digunakan untuk tenunan songket atau kain tenun biasa.

Songket Acheh

Ija kasab ialah panggilan songket di Acheh. Songket Acheh disongket di atas kain kapas ataupun sutera. Stelan Nyak Mu adalah sutera yang dihasilkan di Lamtamot, sebuah kampung di luar Banda Acheh namun kebanyakan penenun sekarang membeli benang sutera dari China.

Nyak Mu atau nama sebenarnya Maryamun adalah penggiat songket Acheh yang terkenal. Beliau membuka pusat latihan tenun di daerah Siem dan pesertanya adalah wanita desa. Beliau menjadikan songket Bungong Geulimo (Bunga Delima) sebagai satu motif dalam songketnya. Beliau pernah memenangi Upakarti iaitu penghargaan nasional untuk individu penggerak industri.

Motif tera ialah pintu Acheh yang memaparkan ragam berbentuk jeruji ramping dihiasi bunga dan rumbai-rumbai. Motif lain ialah pucuk rebung dan bunga melati (seakan bunga melor) hitam. Songket Acheh sangat tebal dan berat. Pemakainya perlu menggunakan pending supaya tidak terjatuh atau tercabut.

Koleksi yang dipaparkan di sini ialah stelan songket Acheh dari daerah Siem. Stelan songket Acheh yang sangat langka, ditenun oleh Almarhumah Ibu Nyak Mu yang disifatkan Adiguru/Penenun Ulung Songket Acheh, dengan gedongan lama.

Teknologi Pembikinan

Ada dua jenis kaedah pembuatan insani (tanpa mesin); mesin gedogan (backstrap loom), ATTM (alat tenun bukan mesin) dan kek Melayu. Pembikinan kaedah gedogan masih digunakan dengan meluas di Nusantara walaupun sudah banyak penenun menukar kepada ATTM untuk meningkatkan pengeluaran. Di Malaysia dan Brunei, hanya alat tenun kek digunakan dan tiada penggunaan gedogan. Tenunan gedogan menghasilkan kain tera kecil sekaligus perlu ditambah kain di pinggang atau dikampuh.

Warna-warna tradisional alam Melayu adalah kusam kerana mengguna bahan alami. Namun dengan kemasukan warna sintetik pada tahun-tahun pertengahan abad ke-20, kekusaman warna songket hilang. Antara contoh songket dalam koleksi ini, hanya satu contoh songket menggunakan pewarna alami iaitu songket Terengganu.

Ternyata kain-kain lain yang ditampilkan mempunyai warna terang dan meriah. Ada contoh kain tenun dari Bali dan Makassar (sutera Sengkang) dalam galeri Gulhenna yang menggunakan pewarna alami (seppan) dan kelihatan sangat anggun tetapi rata-rata kebersaingan warna alami masih tidak ekonomik untuk digunakan dalam kain-kain tradisional secara komersial.

Sebelum ini, pernah disorot mengenai konsep tujuh warna generik dalam tulisan dahulu (Che Husna Azhari: 1999) di mana warna juga dikait dengan penglihatan alam:

Tiga kali sehari berubah warna
Pagi – warna embun
Tengah hari – lembayung
Petang – petang warna minyak

Bahan gentian yang diguna pada zaman dahulu lebih pelbagai seperti kapas, sutera, rami, nanas dan sebagainya namun faktor keuntungan melumpuhkan kepelbagaian ini. Gentian yang digunakan sekarang ialah kapas (katun) atau sutera dan ramai penenunan menggunakan bahan sintetik – rayon-poliester atau poliester.

Kultur seri adalah satu-satunya aktiviti agro menyumbang kepada industri tenun. Namun sekarang pengusaha tidak dapat bertahan dan kebanyakan benang diimport khususnya dari China dan India manakala kapas dari India. Penggunaan gentian kapas atau sutera akan menentukan harga akhir kain tersebut. Sayang sekali, proses penyediaan gentian termasuk pewarnaannya tidak dapat dilestarikan. Sudah jauh hilang makna pantun ini:

Asal kapas jadi benang
Dari benang dibuat baju
Barang lepas jangan dikenang
Sudah jadi orang baru

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

5 Tanda Menukar Tayar Kereta

Menukar tayar kereta adalah satu aspek penting dalam penjagaan kenderaan agar anda dapat memandu dengan selesa. Di samping memastikan keselamatan, tayar yang berada dalam...

Cara Memilih Minyak Enjin Sesuai untuk Kenderaan Anda

Minyak enjin memainkan peranan yang penting dalam prestasi kenderaan. Pemilihan minyak enjin yang sesuai adalah langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan...

Langkah Menjaga Keselamatan Ketika Bercuti untuk Perjalanan Tanpa Risiko

Ramai mesti merancang percutian sempena hujung tahun dan cuti sekolah bagi meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan peningkatan kes COVID-19, adalah penting untuk...

5 Destinasi Percutian di Lembah Klang yang Mempesonakan

Cuti sekolah adalah waktu yang tepat untuk merancang percutian bersama keluarga, dan Lembah Klang menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk dinikmati. Dari pusat bandar yang...

Majlis Penyerahan 69 Buah Model Kereta Perodua Aruz SUV 1.5x kepada IPD Kuching

8 Disember 2023 - Majlis penyerahan kereta konsesi kerajaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah diadakan di dewan terbuka Ibu Pejabat Kontigen (IPK)...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!